"Dan tidak ada yang mengetahui tentera Tuhanmu
melainkan Dia sendiri?" (Surah al-Muddatsir: 31)
Suatu ketika Kota Babylon (kini
Iraq) yang diperintah Raja Namrud megah dengan ketinggian tamadunnya. Namun
masyarakat purba itu begitu naif dalam beragama. Sekian lama mereka menjadikan
patung-patung sebagai Tuhan. Di saat Namrud dan orang-orang Babylon tenggelam
dalam kesyirikan, Allah mengutuskan Nabi Ibrahim Al-Khalil bagi menyeru mereka
kembali menyembah Tuhan yang Esa. Malangnya dakwah Nabi Ibrahim disambut
kata-kata nista dan digelar orang gila. Namrud bukan sahaja ingkar malah
sanggup mengerah rakyatnya menyalakan unggun api unruk membakar Nabi Ibrahim.
Baginda dlikat pada manjanik (lastik besar) lalu dilontar-kan ke dalam api yang
sedang marak.
Bagaimanapun Allah menyelamatkan pesuruh-Nya itu dengan
memerintahkan api agar tidak menyambar tubuh baginda. Namun kejadian itu
langsung tidak menginsafkan Namrud. (Surah Al-Anbiya: 69-70)
Namrud yang mempunyai ratusan bala
tentera mencabar Nabi Ibrahim dengan penuh angkuh." Sekiranya Tuhanmu
mempunyai malaikat, maka kirimkanlah mereka supaya berperang dengan aku,"
kata-nya kepada Nabi Ibrahim. Justeru Nabi Ibrahim bermunajat memohon bantuan
Allah. Sampailah satu ketika, Namrud dan tenteranya berkumpul di padang yang
luas, Allah memerintahkan nyamuk agar menyerang mereka.
Tentera Namrud ketakutan apabila
ruang angkasa berubah menjadi gelap. Jutaan nyamuk menuju ke arah mereka dengan
dengungan yang membingitkan. Tentera Namrud kebingungan. Mereka bertempiaran
cuba menyelamatkan diri. Namun seorang demi seorang rebah menyembah bumi
menjadi 'ratahan' nyamuk yang rakus menghisap darah. Namun Allah menunda
kematian Namrud agar dia dapat menyaksikan sendiri kehancuran tenteranya kerana
berani mencabar Tuhan. Namrud dibiarkan pulang ke mahligainya dalam keadaan
penuh terseksa akibat gigitan nyamuk di seluruh tubuhnya. Selama tiga hari
nyamuk menghurung pekarangan mahligai Namrud. Bagaimanapun selama tempoh itu
ternyata dia tetap enggan bertaubat. Lantas serangga kecil itu menyelinap masuk
ke lubang hidung serta seluruh rongga raja yang angkuh itu. Dia menggelupur dan
menjerit menanggung kesakitan yang amat sangat. Beberapa ketika kemudian Namrud
menemui ajalnya.
Kisah Namrud perlu dijadikan pedoman bagi seluruh umat Islam kerana ia menceritakan pembalasan Allah terhadap manusia yang ingkar dengan ajaran Allah. Umat Nabi Muhammad lebih bernasib baik kerana ujian yang diturunkan lebih ringan. Walaupun wujud penentangan terhadap dakwah Rasulullah namun Allah tidak meranapkan umat akhir zaman ini sekali gus.
Allah tetap menguji kita seperti bencana alam, kesempitan
hidup atau wabak penyakit yang masih mampu kita tangani setelah berlaku
kemungkaran secara terdedah dan tanpa segan silu.
Allah ada berfirman, "Telah timbul pelbagai kerosakan (bala
bencana) di darat dan laut akibat tangan-tangan manusia sendiri kerana Allah
hendak mereka merasakan sebahagian dari balasan perbuatan buruk itu agar mereka
kembali insaf." (Surah Al-Rum: 41)
Kebenaran ayat suci itu terbukti
kerana memang benar manusia melakukan kemusnahan dan menyimpang dari
ajaran-Nya. Justeru kita sering diduga dalam pelbagai bentuk. Inilah amaran
Allah. Segala ujian yang menimpa sebenarnya mengajak umat kembali ke landasan
yang benar. Ini kerana Islam mempunyai konsep taubat bagi sesiapa yang sudah
terlajak. Meskipun Allah tunjukkan tanda-tanda kecil kemurkaan-Nya namun masih
ramai yang tidak insaf. Dibimbangi jika manusia terus menerus ingkar, Allah
akan turunkan dugaan yang lebih berat.
Akuinya, memang benar rakyat negara
ini banyak menikmati keselesaan hidup. Pun begitu, umat Islam harus sedar
segala kesenangan akan terhakis apabila berlaku kepincangan dalam kehidupan
manusia.
Ujarnya, jika Namrud dihancurkan
dengan nyamuk kerana keangkuhannya kepada Allah, kini serangga pembawa virus
berbahaya itu turut mengorbankan puluhan nyawa akibat kelalaian manusia.
Jelasnya, ini juga akibat dari kegiatan secara tidak terkawal dan rakus
terhadap alam yang bukan sahaja mendatangkan mudarat kepada manusia malah
menjejas hidupan haiwan dan tumbuhan. Mengelak dugaan Allah datang
bertimpa-timpa umat Islam perlu kembali pada agama yang menuntut kita
meletakkan asas kukuh dalam menguruskan kehidupan.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar